Kapcai ini mampu redah banjir untuk bantu mangsa

Jasa sekumpulan anak muda dari Kampung Matang, Kuala Berang setiap kali tiba musim tengkujuh dan berlakunya bencana banjir pastinya tidak dilupakan oleh penduduk setempat apabila inovasi yang dihasilkan mereka dengan mengubahsuai sebuah kapcai yang mampu meredah banjir, telah banyak membantu mangsa untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Hasil inovasi kumpulan anak muda ini, kini terdapat 10 buah kapcai yang dikenali sebagai ‘Cub-Cross’ dengan kuasa enjin yang telah diubahsuai lebih tinggi dan ekzos menghala ke atas bagi mengelak daripada dimasuki air.
Menurut seorang pemilik, Shahrin Abdul Gani yang berusia 25 tahun; motosikal itu telah diubahsuai dengan modal antara RM1,000 hingga RM2,000 dan ianya mampu meredah air sedalam satu meter. Ia juga dikatakan sebuah motosikal yang boleh digunakan untuk aksi lasak dan sesuai dengan semua jenis permukaan jalan.
Minat kumpulan anak muda ini bermula dari penubuhan kelab motosikal Cub-Cross untuk tujuan rekreasi dan santai sejak empat tahun yang lalu. Malah antara aktiviti tahunan yang dilakukan mereka adalah dengan meredah hutan di Tasik Kenyir dengan motosikal yang diubahsuai lasak itu.
“Motosikal ini digunakan untuk pemiliknya meredah belantara untuk mencari hasil hutan. Kemampuan Cub-Cross ini boleh disifatkan setanding dengan motosikal ‘scrambler’ yang mempunyai kapasiti enjin tinggi,” katanya.
Pada musim banjir, ketahanan motosikal itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Shahrin dan kumpulannya untuk membantu penduduk kampung.
Shahrin berkata, motosikal yang diubahsuai itu telah banyak berjasa dengan membantu mangsa banjir yang terkandas apabila jalan dinaiki air.
“Kami pernah meredah banjir membantu membawa warga emas yang sakit untuk ke klinik dan wanita hamil yang sarat untuk dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans,” katanya.
Terengganu Press